::Blog ini ditaja oleh::

Assalamualaikum @ Selamat Datang!
Sudah menunaikan kewajipan anda?
Selamat membaca! Jangan lupa tinggalkan komen. :)

***

Adakah anda tahu?
Setiap komen anda akan membantu saya untuk:

1. Tidak syok sendiri.
2. Melakukan penambah baikan.
3. Memberi semangat untuk terus berkarya.

Jadi apa lagi? Berilah sepatah dua kritikan untuk saya terus menulis. (^^,)v

::aku_dia's current status::

04.05.2016

Mencari momentum untuk menulis.

Anda masih boleh membeli Bidadari daripada saya. :)
Boleh pm saya di facebook Hannah Dhaniyah.
Atau hantarkan e-mail ke aku_dia1911[at]yahoo[dot]com ^_^

09 February 2012

[EDITED] Suami Aku Ustaz?! 24

Ada sikit je perubahannya pada bahagian permulaan sebab nak kasi terang lagi jelas dan nyata [kot]...
Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,)v


Suami Aku Ustaz?! 24
AKU bangun apabila jam menunjukkan hampir pukul lima setengah petang. Makin lama aku baring, ada yang tertidur atas katil ni. Aku ni bukannya boleh percaya sangat. Sedangkan tengah tunggu Isyak selepas mengaji pun boleh terlelap, ini pula memang sudah sedap-sedap berbaring di atas katil. Sebaik sahaja selesai menunaikan solat, pintu bilik diketuk dari luar. Bibir mengukir senyuman apabila terpandangkan wajah umi sebaik sahaja membuka pintu.
“Lisa tengah buat apa?” Lembut umi bertanya.
“Baru lepas solat. Kenapa umi?”
“Walid ajak pergi kebun petang ni. Lisa nak ikut atau nak duduk rumah je, rehat?”
Aku menjeling jam dinding yang tergantung di ruang makan. Sudah hampir ke pukul pukul enam.
“Tak lambat sangat ke umi? Dah dekat pukul enam ni?”
Umi tersenyum. “Dekat je kebunnya. Naik kereta tak sampai sepuluh minit. Lagipun, bukan nak buat apa. Walid nak ambil pisang je. Hari tu tengok tak sesuai lagi nak ambil. Tak ambil hari ni, takut esok ada hal lain pula. Ada dimakan burung, pisang tu nanti. Lisa nak ikut ke? Kalau nak, siaplah. Nanti terus pergi.”
Saat umi bercerita, fikiran aku sudah membayangkan kebun. Kebun maka isinya ada pokok dan rumput dan daun. Pergi waktu petang macam ni pula, maka kawannya nyamuk. Aku dan nyamuk? Memanglah cinta bertepuk sebelah tangan. Si nyamuk sibuk nak bagi ‘love bite’, aku pula sibuk tepuk sebelah tangan. Akibatnya? Ada dua tiga hari kesan kena gigit nyamuk tidak hilang. Aduh!
Tetapi, masa-masa macam ini ajelah aku boleh rapat dengan mak dan ayah mentua. Walaupun aku pendiam sewaktu dengan mereka, takkanlah balik rumah ni terus menerus hendak jadi pendiam. Bila lagi nak ambil hati mereka, kan? Akhirnya aku mengangguk. Nasib baik aku tidak mandi lagi tadi.
“Siaplah. Lepas tu terus pergi.”
Selepas menyarung tudung, terus aku duduk di ruang tamu. Tangan bermain dengan telefon. Sekali orang tengok, macam aku tengah berbalas-balas mesej. Tapi kalau diperhatikan betul-betul, mesti orang cakap aku gila. Apa tidaknya, dari tadi aku asyik buka tutup mesej yang sama. Hendak buang, tidak terbuang. Selepas itu, kalau baca sepuluh kali, sepuluh kali jugalah aku tersengih. Kalau lebih? Ah! Fikir ajelah sendiri. Gilah dah aku ni agaknya.
“Senyumkan apa?”
Hilang terus senyuman yang terlukis sebentar tadi. Hai... kalau dengan si anak aku terkantoi, dengan umi dia pun perlu ke aku terkantoi semua benda?
“Tak ada apa umi!” Ceh. Berahsia pula aku ni. Aku terus bangun apabila umi sudah berjalan ke pintu. Walid sudah sedia menunggu di dalam kereta sejak tadi. Tidak tahu erti penat ke walid ni? Dari pagi sampai ke petang dekat pejabat. Habis waktu pejabat, boleh pula ke kebun lagi. Agaknya sebab itulah walid ni badan dia cergas. Entah-entah, setiap malam pun dia qiam agaknya.
Bercakap tentang qiam, tiba-tiba aku teringat kisah Salahudin Al-Ayubi dengan askar-askar dia. Cerita ni aku dengar masa dekat sekolah agama dulu. Ustazah cerita, tengah-tengah berperang pun, setiap malam askar-askar dia boleh bangun untuk qiam. Sebab itulah mereka boleh menang agaknya. Sebab berperang tu kerana Allah, sentiasa meminta bantuan Allah dan mereka mengikut kata ketua mereka yang beriman, Salahuddin Al-Ayubi.
Jadi setiap kali Salahuddin buat rancangan, semua askar beliau senang nak ikut. Kerana, mereka mengikut ketua mereka kerana Allah s.w.t. Wah... bagus cerita ni kalau kita ceritakan kepada askar-askar kita. Bagi mereka berhati waja. Eleh, Alisa! Cakap hendak gah! Kalau engkau yang cakap, manalah ada orang yang nak dengar. Diri sendiri pun dua kali lima. Abang Hafiz paksa bangun, barulah hendak bangun. Walhal, diri sendiri pun tengah berperang juga. Ok, silap. Berjihad. Menuntut ilmu kan berjihad juga?
“Hafiz tak ada call?”
Aku terpinga-pinga apabila kena soal secara tiba-tiba.
“Lisa ni, dari tadi umi perasan dia leka. Fikirkan apa Lisa?”
Aku tersengih. Takkan hendak jawab, aku leka menatap mesej anak dia masa anak dia tiada? Buat malu je. Ada umi ingat aku ni sudah pandai menggatal. Isk! Aku baca mesej ini pun bukannya apa... aku teringat kebodohan aku tadi. Itu sahaja, bukan sebab aku rindu kat ustaz tu.
“Tak ada apa umi. Baca mesej lawak tadi. Umi tanya apa tadi? Abang Hafiz?” Cepat-cepat aku menukar topik.
“Walid yang tanya. Hafiz tak ada call ke?” walid pula yang bersuara.
“Oh!” Aku mengangguk. “Ada tadi. Masa Lisa baru sampai. Kenapa, walid?”
“Hafiz tu, risau betul nak tinggalkan kamu dekat rumah. Siap minta umi dengan walid pergi sana kalau kamu tak balik sini,” cerita walid.
Terpegun aku mendengar ayat yang keluar daripada mulut umi. Abang Hafiz suruh umi dengan walid datang? Apa dia ingat aku tidak pandai jaga diri ke? Aku mencebik. Walaupun aku ni baru tujuh belas, aku sudah besar tau? Mesti dia risau kalau aku keluar lepak dengan Joe agaknya. Hahaha!
“Sekarang ni macam-macam kes, Lisa. Baru-baru ni dekat kampung, ada rumah kena pecah masuk. Itu ada orang tu. Cuba Lisa bayangkan kalau apa-apa jadi dan Lisa seorang je dekat rumah? Nauzubillah!
Terdiam sekejap hati aku daripada memberontak. Tiba-tiba aku diterpa perasaan terharu. Oh, okay. Memang perempuan jarang berfikir panjang. Eheh! Aku ni di antaranyalah. Manalah terfikir benda tu semua. Tapi, alah... Abang Hafiz itu yang risau sangat. Kawasan rumah aku kan kawasan rukun tetangga. Malam-malam akan ada penduduk berjalan, memerhatikan kawasan kampung. Cuma, kalau tidak silap aku, itu dulu. Masa awal-awal popular. Siap masuk surat khabar lagi. Sekarang? Wallahualam.
“Oh, itulah! Lisa saja je menyakat Abang Hafiz hari tu cakap tak nak balik. Tak sangka pula dia siap suruh umi dengan walid datang jenguk Lisa. Apalah abang tu.” Ceh! Karang ayat bagus pula ye, Lisa?
Walid ketawa. “Orang sayang Lisa. Kalau tak sayang, tak adanya Hafiz nak ambil berat. Lagipun memang walid dengan umi dah cadang nak ke sana malam ni.”
Aku tersenyum sumbing. Orang dah sayang? Hrm.. entah iya entah tidak. Tetapi, part ambil berat itu aku percaya. Masuk walid, sudah dua orang yang cakap perhatian Abang Hafiz dekat aku ni, lebih sedikit. Siapa lagi seorang? Tekalah!
“Pakaian untuk sekolah esok ada?”
Aku tersengih sebelum aku menggeleng. Manalah ada. Sudah sah-sah tadi aku balik sehelai sepinggang.
“Esok pagi-pagi kena balik sanalah dulu.”
Dan aku hanya mengiyakan. Hai... ini yang buat aku malas hendak balik sini. Tidak pasal-pasal kena bangun awal esok pagi. Nasib baik aku memang jenis gosok baju seminggu terus, jadi tidak adalah serabut esok pagi. Tidak perlulah keluar awal sangat rasanya. Aku menghela nafas lega.
***
BELUM sempat kerusi kereta panas, walid sudah berhentikan kereta. Aku terpinga-pinga memerhatikan kawasan kebun. Nak cakap apa, ye? Dah namanya kebun, memang macam inilah rupanya. Aku perhatikan, banyak juga pokok buah yang ada. Bahagian hadapan banyak pokok pisang. Dekat dalam tu macam nampak ada daun pokok durian, sukun pun macam ada. Rambutan, duku. Ah, standard-lah kebun dekat Malaysia ni. Kalau hendak jumpa strawberi, pergi panjat Cameron Highland. Itu pun, jumpa yang masam.
Belum sempat aku hendak mengikut langkah umi dengan walid, tiba-tiba pipi sudah terasa gatal. Hampeh punya nyamuk. Dia buat pesta darah pula sambut kedatangan aku. Kan tidak pasal-pasal kena maki. Dengan separuh hati, aku gagahkan juga kaki untuk masuk ke kebun. Kalau diikutkan, mahu sahaja aku minta kunci kereta daripada walid.
Kalau umi dengan walid sibuk mengambil buah dan menebang pokok pisang yang memang tidak akan berbuah dua kali, aku pula sibuk mengajar nyamuk yang mengerjakan darah aku. Baru dapat bunuh seekor, datang lagi seekor. Bagus juga nyamuk ni tidak serang sebatalion terus. Kalau tidak, memang kering terus darah aku. Nyamuk ni mengingatkan aku kepada kisah Raja Namrud. Punyalah besar kuasa Allah yang Dia hendak tunjuk, tidak payah tunggu gajah, nyamuk yang halus itu pun boleh bunuh Raja Namrud yang riak tu. Allahuakbar.
Eh, sekejap. Aku rasa pelik dengan diri aku hari ni. Kenapa semua perkara aku kaitkan dengan sirah ni? Ah! Lupa pula. Sudah terang lagi bersuluh, dalam buku teks sejarah ada ditulis, siapa yang tidak mengingati sejarah, dia akan mengulanginya kembali. Patutlah orang zaman sekarang sakan buang anak, buat hubungan songsang, buat maksiat. Mesti lupa sejarah zaman jahiliah dengan kaum Nabi Luth dulu. Tidak takut bala daripada Allah ke mereka tu?
“Lisa ok ke?”
Aku tersentak. Spontan aku menurunkan tangan yang tadi duk tergaru-garu badan yang kena gigit nyamuk.
“Ok je umi. Kenapa?”
“Tolong bawakan pisang ni dekat kereta.” Umi menunjukkan setandan pisang tanduk yang masih hijau. Buat kerepek pisang sedap ni.
Aku mengangguk. Baru aku berdiri sebelah umi, umi sudah terlebih dahulu memegang muka aku.
“Ya Allah, banyaknya kena gigit!” Umi menegur kesan gigitan nyamuk tadi.
Aku sengih separuh hati. Sengih stres kerana menjadi tumpuan nyamuk. Kena pula pakai t-shirt hitam, lagi bertambah sukalah nyamuk tu.
“Lepas ni kena rajin ikut umi dengan walid ke sinilah. Biasakan diri dengan nyamuk. Baru nanti nyamuk tak kisah dah,” umi mengusik.
Aku tergelak. “Lagi membiakkan nyamuk adalah umi,” sopan aku menjawab. Kalau dengan Abang Hafiz, sedas terus aku bagi.
Umi masih tersenyum. “Kesian anak umi. Pergilah dekat kereta. Tak lama dah ni. Tunggu walid nak bersihkan sikit bawah pokok pulasan tu. Lepas ni kita balik.”
Aku sudah tersenyum sampai ke telinga. Itu yang aku teringin sangat hendak dengar. Laju aku mengangkat pisang menuju ke kereta. Leganya apabila dapat keluar dari kebun ni. Walaupun aku tidak duduk di dalam kereta, sekurang-kurangnya tempat aku menunggu ni kawasan yang lapang.
Telefon yang bergetar membuatkan aku tersenyum sebelum aku melihat nama pemanggil. Hati berbunga-bunga? Rasanya tidak adalah sampai ke tahap tu. Namun, apabila aku melihat skrin telefon, senyuman di muka aku terus hilang. Terasa malas sahaja aku hendak mengangkat panggilan daripada Cik Wati seorang ni.
“Ada apa?” soalku tidak berperasaan.
“Waalaikumussalam!” Wati menyindir.
Aku mencebik. “Iyalah... iyalah! Assalamualaikum!”
Wati ketawa. “Waalaikumussalam. Hah... Pandai pun beri salam! Kan antara tanda kiamat kecil tu bila orang tak bagi salam kecuali dekat orang kenal je. Yang kau ni? Aku yang dah terlebih kenal pun tak nak beri salam kenapa? Kau dekat mana ni? Kata nak aku teman kau malam ni?”
Aku menarik muncung. Tak ada Ustaz Hafiz, orang lain pula yang bagi tazkirah. “ Aku dekat kebun. Ikut umi dengan walid.” Ringkas aku menjawab.
“Umi? Walid? Bakal mertua aku ke?” soal Wati.
Mertua Wati? Dahi aku sudah berkerut. Tidak faham dengan apa yang Wati cuba sampaikan. “Apahal pula?” Suka-suka hati dia je mengaku mertua aku tu bakal mertua dia.
“Iyalah. Nak kata mak dengan ayah kau, tak logik sebab hujung minggu ni baru balik. So, siapa lagi kan? Mestilah bakal mertua aku. Aku kan second-wife-to-be, Ustaz Hafiz?”
“Ah, blah kau.” Spontan aku menjawab. Merepek je budak ni.
Tiba-tiba tawa Wati meletus. “See? Tak mengaku sayang dia, suka dia. Aku acah sikit, terus gelabah!”
“Mana ada. Alah, kalau dia nak kahwin sepuluh pun aku tak kisahlah,” balasku cuba menutup kerisauan.
“Memanglah kau tak kisah dia kahwin sepuluh. Sebab tak dibenarkan dalam Islam. Cuba kalau dua, tiga atau empat? Mesti dah melayang kuali kat dapur walaupun aku tahu kau tak pandai masak!” Makin sakan Wati mengenakan aku. Ada sahaja idea dia hendak menyakat. Pantang aku salah sebut sikit.
“Suka hati engkaulah. Malas nak layan! Hah, ada apa call?” Di saat aku menghabiskan soalan, tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi beep tanda ada panggilan lain tengah masuk. Spontan aku menjarakkan telefon daripada telinga, ingin melihat nama pemanggil.
“Weh kau dengar ke tak ni? Kenapa aku rasa macam tengah cakap seorang-seorang?” Aku terdengar Wati membebel sebaik sahaja telefon di dekatkan kembali ke telinga.
Aku tersengih. “Wati, ada call masuk. Nanti aku call kau malam ni. Assalamualaikum!” Siang-siang aku beri salam sebelum dia sindir lagi sekali.
Selepas memutuskan talian, aku menjawab panggilan Abang Hafiz. Mata memerhatikan umi dengan walid yang sudah berjalan keluar dari kebun.
“Ada apa call? Kan tadi dah call?” laju aku bertanya lepas menjawab salam.
“Hai? Tak suka dapat call ke? Atau Lisa tunggu call daripada orang lain? Tadi beriya-iya marahkan abang tak call?” Dia mengungkit.
Aku termalu sekejap. Dalam pada masa yang sama, aku mencari-cari idea untuk menjawab sambil tangan mengurut dahi. “Mana ada tunggu call sesiapa.” Eheh. Tadi masa Wati call, bukan ke kau harap nama dia yang keluar?
“Iyalah. Siapalah kita ni,” nada suara Abang Hafiz sedikit merajuk. “Tadi call sekejap sangat. Tak dapat nak berbual lama. Lisa tengah buat apa?”
“Dekat kebun. Ikut umi dengan walid.”
“Kat kebun? Yang abang dok dengar bunyi ‘pap-pap’ tu apa?”
Aku tergelak mendengar dia menyebut ‘pap-pap’. Comel! “Nyamuklah. Habis satu badan kena gigit.”
Abang Hafiz dah ketawa besar. Dia ni... kalau tidak ada umi dengan walid dekat sini, memang sudah kena sembur dengan aku. Eheh! Gaya macam berani je, kan?
“Abang Hafiz call,” kata aku apabila umi mengangkat kening bertanya. Tersengih panjang umi dengar jawapan aku.
“Kenapa?” Abang Hafiz pula yang bertanya di talian.
“Umi tanya siapa. Dia takut Lisa berbual dengan lelaki lain agaknya.” Mesti umi teringat masa aku berborak dengan Joe dekat belakang rumah hari tu.
“Bukan umi je yang risau. Abang pun.”
Lidah aku terkelu mendengar ayat yang keluar daripada mulut Abang Hafiz.
“Apa-apalah.” Aku cuba untuk tidak mengendahkan. Buat apa hendak bagi jantung aku gedebuk gedebak je kerjanya? Penat tu!
Muka aku terasa panas apabila walid pula yang tersenyum memandang aku. Mesti umi beritahu Abang Hafiz yang telefon. Isk. Segan aku berbual dengan Abang Hafiz depan mereka.
“Abang, call malam lah. Battery dah nak habis ni. Ok?” Pandai aku cari alasan.
“Lah... Abang baru je call, battery dah nak habis pula. Iyalah. Nanti I’ll call you. Take care, Lisa. Miss you. Assalamualaikum.”
Spontan muka aku bertukar panas. Salamnya aku jawab di dalam hati. Dia ni tidak habis-habis dengan ‘miss you’ dia tu. Malu aku.
“Apa cerita Hafiz?” Umi menyoal apabila aku sudah menyimpan telefon ke dalam kocek seluar.
“Tak ada apa. Saja call.” Aku mengawal air muka supaya nampak seperti biasa.
“Hai? Baru tadi call, dah call lagi?” Aku rasa umi dah senyum mengusik. Ke perasaan aku je?
“Rindu betul tu,” walid menyambung.
Aku hanya mampu menundukkan muka tanpa menjawab. Aduh...! Payah betullah Abang Hafiz seorang ni. Nasib baik umi tidak tanya kenapa muka aku merah. Kalau tidak, aku tidak tahu dekat mana aku hendak sorokkan muka ni. Abang Hafiz ini pun satu. Sibuk telefon aku, umi dia dah telefon ke belum? Ngee...

1 comment:

iejah said...

bila berjauhan baru nak sayang2, rindu2.. haisss..ustz hafiz dgn lisa nih sama jerr..kaku..hihiii

btw..best!