Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,)v
Suami Aku Ustaz?! 19
ABANG HAFIZ mengusap kepala aku sebaik sahaja aku melepaskan tangan dia. Baru aku mengangkat kepala, terasa bibir dia sudah melekap di dahi aku. Spontan darah menyerbu ke muka. Aku memejamkan mata. Cis! Dia ni, bikin muka gua panas je.
Abang Hafiz bergerak, ingin mencapai kembali buku yang dia baca tadi. Tapi, eh? Kenapa dia ambil sekali bunga dengan kad tu? Dia nak buang ke? Aku berlakon seperti mahu masuk ke dalam bilik air. Ingin membasuh muka. Malas hendak melihat apa yang dia bakal lakukan kepada bunga dan kad itu. Kalau nampak dia buang depan mata aku, itukan namanya menyakitkan hati sendiri. Jadi, lebih baik aku masuk bilik kan?
Dengan hujung mata aku lihat Abang Hafiz buka kad itu. Ceh, Alisa! Kata tadi tidak mahu tengok. Tetapi sempat juga mata tu mengintai dia, ye? Aku ternampak bibir Abang Hafiz tersenyum semasa baca kad tu. Aku termalu sekejap. Masa hari guru pun aku tidak pernah bagi dia kad. Hadiah apatah lagi. Tidak terasa pula hendak menghargai dia sebagai ustaz aku. Hahaha! Dada aku terasa ringan. Tiada lagi perasaan bersalah seperti sebelum ni. Bersalah kepada Joe, apatah lagi kepada Abang Hafiz. Belum sempat aku membuka langkah untuk pergi, Abang Hafiz sudah memanggil.
“Tolong letakkan kat dalam bilik.”
Bunga dengan kad dia hulurkan. Kening aku bertaut. Mata aku tidak lari daripada memandang dua benda di tangan aku.
“Nak buat apa?”
“Simpan.”
“Tadi kata tak nak? I don’t need these...” laju mulut menuturkan. Isk! Cik mulut, puan awak ni baru berdamai dengan suami dia. Cuba jangan cakap lepas sangat!
“Hah? Lisa cakap apa?”
Mujurlah perlahan dan suami puan awak ni tidak dengar! Laju aku menggeleng.
“Tak ada apa.” Elok menghabiskan ayat, aku terus masuk ke dalam bilik. Tidak mahu aku berlama-lama dekat sini. Nanti entah apa pula yang terjadi.
***
KEESOKAN harinya, sebaik sahaja bangun daripada tidur, tiba-tiba aku terasa bersemangat hendak pergi jogging. Masa cuti sekolah hujung tahun lepas, aku rajin juga pergi jogging dengan Wati. Selalunya selepas Subuh kami jumpa dekat padang di bandar. Rajin pergi pun bukannya apa, risaukan badan naik. Cuti masa tu dekat dua bulan juga. Iyalah, masa tu pelajar tingkatan tengah SPM, kami pula pengetua bagi cuti. Bergembira sakan aku duduk dekat rumah.
Selepas solat Subuh, aku sudah bersiap-siap dengan baju dan seluar untuk ke padang. Pagi-pagi macam ni pergi jogging, seronok! Udara segar, sejuk, nyaman... semualah! Kadang-kadang kalau hujung minggu, dapat juga aku cuci mata melihat lelaki-lelaki yang ada. Hahaha!
Laju aku merapikan tudung sebelum keluar bilik. Elok aku hendak memegang tombol pintu, pintu sudah dibuka dari luar. Abang Hafiz melangkah masuk dengan pandangan pelik melihat aku.
“Lisa, nak pergi mana ni? Kat luar pun gelap lagi?” Dia bersuara apabila aku buat tidak faham dengan pandangan dia.
Teringat untuk mengambil stokin yang tertinggal, laju aku berpatah balik ke almari baju.
“Lisa nak pergi jogging. Nak ikut?” Isk! Ini ajak-ajak ayam je.. Jangan dia cakap, ‘nak’ sudah.
“Boleh juga.”
Nasib baik aku tidak tersungkur di hadapan almari. Aku mengetap bibir. Boleh diagak jawapan dia. Mesti dia hendak punyalah kalau aku ajak! Iyalah, kalau dia ajak keluar berdua, manalah aku nak layan. Baik aku duduk rumah seorang diri.
“Serius?”
Aku bertanya sewaktu Abang Hafiz sedang menyalin baju. Muka aku terasa panas sekejap. Aduh! Lain kali cuba beritahu dulu kalau hendak salin baju, segan aku tahu?
Abang Hafiz menoleh. “Apa yang serius?”
Kain pelekat sudah berganti dengan seluar. Memang seriuslah ni. Aku menggeleng.
***
“WAH!” Aku sudah merenggangkan badan sebaik sahaja turun daripada kereta. Langit sudah mula hendak terang. Aku lihat orang pun sudah mula ramai waktu-waktu macam ni.
“Lisa!”
Aku menoleh.
“Warming up dulu baru jogging,” Abang Hafiz mengingatkan.
Aku mencebik. Macamlah aku ni budak kecil sampai perlu diingatkan perkara mudah macam tu.
“Iyalah, ustaz!” Sejak bila entah dia ni bertukar jadi cikgu Pendidikan Jasmani entah!
Abang Hafiz hanya menggeleng melihat aku. Kemudian kami bergerak ke padang. Sebelum memulakan langkah pertama, aku dengan dia sama-sama berdiri di tepi padang. Di dalam hati, aku mula mengira daripada nombor satu sehingga lapan sewaktu memanaskan badan. Tiba-tiba aku terdengar ada orang berzikir di sebelah. Perlahan bunyinya. Aku menoleh. Siapa lagi kalau bukan Abang Hafiz. Dia ni hendak bersenam ke, apa?
“Kenapa?” Abang Hafiz terhenti daripada aktivitinya.
Laju aku menggeleng.
Oh! Baru aku faham. Ustaz ni tidak mengira macam aku rupanya. Patutlah tiba-tiba aku terdengar ada orang berzikir dekat sebelah. Aku ingat aku sudah berlari masuk ke dalam masjid tadi. Kaki kanan diangkat sebelah. Bibir aku turut mengikut alunan suara Abang Hafiz di dalam hati. Siapa kata berzikir hanya dibaca selepas solat? Masa bersenam pun kita boleh tambah pahala rupanya. Aku tersenyum sendiri.
“Subhanallah walhamdulillah walailaha ilallah wallahu akbar!”
***
“LISA, kita jogging sekali ye?” Abang Hafiz mencadangkan idea yang aku tidak suka. Aku hanya mampu tersengih. Nak kata ‘tidak’? Ada tidak pasal-pasal aku tolong mengkayakan lagi kedai bunga semalam.
Laju aku berlari meninggalkan Abang Hafiz di belakang. Malas aku hendak berlari dengan dia sebelah-sebelah. Selesai dua pusingan, aku sudah terasa mengah. Abang Hafiz meneruskan larian dia, menghabiskan lagi separuh pusingan. Sementara menunggu, aku menyejukkan badan terlebih dahulu. Selepas itu, langkah dihalakan ke kereta. Nasib baiklah kereta tidak berkunci. Aku sudah terasa macam dekat Sahara sekarang ni.
“Jogging ke masuk marathon tadi?”
Aku tersengih apabila dia menegur. Agak-agak dia perasan ke aku sengaja melarikan diri daripada dia. Aduh, jahat sungguh kamu ya, Alisa? Aku menghulurkan botol air di tangan. Abang Hafiz menggeleng. Botol berisi air masak itu aku letak kembali ke dalam kereta.
“Nak pergi mana lepas ni?” Aku bertanya.
Abang Hafiz berfikir sejenak sebelum mejawab. “Abang nak pijak batu sekejap.”
Aku hanya mengangguk. Abang Hafiz sudah berjalan ke tempat refleksiologi. Aku pula duduk di atas bangku batu yang disediakan. Sementara menunggu Abang Hafiz, aku memerhatikan suasana sekeliling. Ada yang sedang bertaichi, ada yang sedang bermeditasi.
“Hai! Boleh saya mengurat awak?”
Aku menoleh ke arah suara yang menegur. Spontan bibir aku menguntum senyum apabila berbalas pandang dengan pemilik suara.
“Eh! Lama tak jumpa. Abang sihat?”
Abang Amirul hanya mengangguk. Sebenarnya dia ni abang angkat Wati. Jumpa pun dekat sini masa berjogging tahun lepas. Entah macam mana entah boleh jadi abang-adik angkat ni, aku sendiri tidak ambil tahu. Aku yang anak tunggal ini pun tidak sibuk hendak berabang-adik angkat ni.
“Sihat je. Lisa? Seorang je ke dekat sini? Tak nampak Wati pun?” Abang Amirul melemparkan pandangan ke kawasan sekeliling.
Aku tersengih. Malas rasanya hendak menjawab soalan itu. Mata terpandangkan Abang Hafiz yang sedang memandang ke arah kami.
“Abang seorang je ke?”
Abang Amirul menggeleng. Kemudian dia mengesat peluh di dahi. “Boleh duduk sebelah?”
Aku mengangguk. Dalam pada masa yang sama, aku mengesot ke tepi memberi dia ruang untuk duduk.
“Wati apa khabar?”
“Eh? Kenapa tanya orang? Bukan ke dia ‘adik’ abang?”
Abang Amirul ketawa. “Memanglah. Tapi abang dah lama tak contact dia. Abang busy sikit semenjak dua menjak ni.”
Aku tumpang senyum. “Dia sihat je. Makin sihat!”
“Masih dengan Farhan lagi ke, dia tu?”
Aku mengangguk.
“Patutlah makin susah nak dengar cerita dia,” Abang Amirul memberi komen.
Aku ketawa. Agaknya memang orang tengah bercinta ni, dah lupakan orang lain ke? Nasib baik si Wati masih ingat lagi pada aku. Mata aku tercari-cari Abang Hafiz. Aku lihat dia sedang berjalan ke arah kami. Muka dia? Macam biasa. Aku tak rasa dia cemburu melihat lelaki lain duduk sebelah aku.
“Siapa?” Abang Hafiz bertanya apabila sudah berdiri di sebelah aku.
Aku bangun daripada duduk. “Ni Abang Mirul.” Aku memperkenalkan Abang Amirul kepada Abang Hafiz.
“Abang Mirul, ni err...” aku terdiam. Mata memandang sekilas Abang Hafiz dekat sebelah. Hendak kenalkan sebagai apa ni? Ustaz? Abang sepupu? Suami? Err... tak nak!
“Hafiz.”
Abang Amirul mengangguk. Mereka saling berjabat tangan. Sebaik sahaja mereka bersalam, aku terasa ada tangan di pinggang aku. Muka aku dah panas. Lagi-lagi apabila terpandangkan muka Abang Amirul yang sudah pelik memandang aku dengan Abang Hafiz. Argh! Nasib baik Kak Intan dengan Amani tiba tepat pada masanya.
***
“KENAPA tak cakap Mirul tu dah kahwin?”
“Perlu ke? Takkan masa kenalkan dia tadi nak cakap, ni Abang Amirul. Dia dah kahwin dah. Tak ke pelik tu?”
Mesti dia cemburu. Aku sudah tergelak di dalam hati. Agaknya kalau Kak Intan dengan Amani tidak datang tadi, mesti dia ingat Abang Amirul tu hendak mengurat aku. Mata masih memerhatikan langkah mereka sekeluarga pergi. Sempatlah berbual sekejap dengan Kak Intan dengan main-main dengan Amani. Besar dah budak tu. Dulu masa baru-baru kenal Abang Amirul, terkedek-kedek je Amani berjalan.
“Tak adalah sampai macam tu...”
Aku mencebik. “Hrm... cemburulah tu. Abang Mirul tu abang angkat Wati lah,” aku bercerita tanpa disuruh.
“Oh? Lisa pula?”
“Lisa apa?”
“Tak ada abang angkat?”
Ketawa kecil meletus di mulut aku apabila mendengar soalan dia.
“Ada abang sepupu seorang pun dah pening nak melayan. Nak cari abang angkat? Tak payahlah...”
Siapa lagi abang sepupu aku, kalau bukan dia. Tetapi sebenarnya, ada suami seorang pun sudah pening hendak melayan baru betul ayat aku tadi. Sebab, sebelum Abang Hafiz bertukar menjadi suami, aku dengan dia payah hendak berbual. Kalau jumpa masa raya pun, aku lagi banyak lepak dengan sepupu perempuan daripada sepupu lelaki.
“Amani tu anak sulung dia orang ke?”
Aku mengangguk.
“Comel!” Abang Hafiz memuji.
Aku tersengih mendengarkan pujian tu. Pada aku, jarang lelaki hendak puji-puji macam tu. Lainlah kalau seseorang tu budak pandai, budak baik, atau budak bagus ke... ni comel?
“Tengoklah mak bapak dia. Cantik dan handsome apa?”
Aku sudah mula berjalan menuju ke kereta diikuti Abang Hafiz di sebelah.
“Iya ke? Nanti kalau kita, mesti comel jugakan?”
Aku buat-buat terbatuk apabila mendengar usikan Abang Hafiz. Tidak agak-agak betul! Anak? Isk! Bertenang Alisa. Dia saja hendak menyakat kau tu. Bukannya dia serius pun!
“Hrm... betul! Tapi kalau dia ikut muka Lisa lah. Kalau ikut muka abang, mesti comot!” Hah, nak menyakat aku sangat ye?
Abang Hafiz diam tidak menjawab. Ah, sudah? Merajuk lagi sekali ke? Aku menoleh ke belakang. Tiba-tiba terasa pipi kebas sebab kena tarik. Kureng!
“Sakit lah!” aku terjerit. Abang Hafiz ketawa jahat. Hee... geramnya aku dengan dia ni. Tak apa, ada ubi ada batas!
No comments:
Post a Comment