Bab-bab seterusnya, kalau tak silap saya sama je cuma berubah dari segi bahasa dan ejaan. (^^,)
Minta doakan semoga semuanya berjalan lancar. Aminn. (^^,)v
Suami Aku Ustaz?! 18
PAGI itu cuaca elok seperti hari-hari semalam. Syukur! Tidak perlulah Abang Hafiz menghantar aku ke rumah Wati hari ni. Tadi, jarum jam belum pun menunjukkan ke angka sepuluh aku sudah keluar rumah. Semalam sebelum tidur, sekali lagi aku meminta izin dengan Abang Hafiz nak pergi rumah Wati. Abang Hafiz yang menjadi tidak banyak cakap sejak semalam, hanya mengangguk sewaktu aku bertanya. Isk! Payah betul apabila lelaki merajuk. Buruk! Tapi aku rasa ok lagi lah dia tidak tarik muncung macam perempuan merajuk.
Malam tadi, aku terus tidur apabila sudah tidak ada idea untuk buat apa. Hendak belajar, tak boleh sebab terlalu banyak perkara yang aku fikirkan. Hendak duduk dekat luar bilik, tiba-tiba ajak Abang Hafiz berbual, rasa macam apa pula. Rasa macam terhegeh-hegeh je dengan orang. Isk! Parah-parah. Semasa aku tersedar pukul empat pagi dek kerana lampu bilik yang terpasang, aku lihat Abang Hafiz tengah qiam. Rajin sungguh ustaz ni bangun tengah-tengah pagi. Kalau tidak silap aku, kali terakhir aku qiam semasa hendak mengambil PMR dulu.
Tenang dan perlahan aku menunggang motor pagi-pagi ni. Hendak pergi mana, ye? Kenduri rumah Wati sebenarnya selepas Zohor. Sekarang ni ada lagi berapa jam sebelum Zohor masuk. Takkan aku hendak menempel dekat rumah dia lama sangat? Bukannya aku tolong buat kerja pun nanti. Tolong tengok orang buat kerja adalah.
Sedar tidak sedar, aku sudah masuk kawasan tambak. Selepas itu, sengaja aku menghala ke kedai mamak yang aku selalu lepak dengan budak berdua tu, Pa’an dengan Joe. Tiba-tiba aku rindu zaman muda-muda. Cis! Berkahwin tidak bermakna aku sudah tua, ye? Baru hendak mencari tempat selamat untuk memarkirkan motor, mata aku terpandangkan sebuah motor yang aku selalu nampak. Aku terkelu sehingga tidak sedar ada kereta di belakang. Percuma je kena hon.
JHR 1234.
Aku membaca nombor plat motor berwarna hitam tu. Sah, ini petanda tidak baik. Lagi bagus aku cari tempat lepak yang lain supaya nanti, Joe buat tidak kenal aku macam aku ni alien dari planet Marikh. Kaki aku hayun ke tepi laut. Malaslah aku nak masuk kedai mamak tu.
***
SEDANG aku leka memerhatikan laut, tiba-tiba sebiji ais krim Cornetto disuakan di hadapan aku. Spontan aku terkebelakang. Tangan laju mengurut dada. Terkejut! Dengan perlahan-lahan, aku menoleh ke kanan. Joe setia berdiri dengan ais krim di tangan.
“Tak nak ke?” Dia bertanya apabila melihatkan aku buat bodoh dengan aiskrim dekat tangan dia.
Aku menggigit bibir. Bukan tidak mahu tapi... akhirnya aiskrim bertukar tangan.
“Kau ada prob?” nada suara Joe macam biasa bila bertanya.
Aku masih leka tengok laut yang sikit berombak. Kertas yang membalut aiskrim coklat tu aku koyakkan. Angin yang menyapa sedikit menyejukkan kulit muka walaupun matahari sudah meninggi.
“Kau marah lagi?” Soalan di jawab dengan soalan.
Joe hanya diam. Apabila mendengarkan tiada jawapan, aku malas hendak bertanya lebih-lebih.
“Kenapa tak masuk dalam?”
Aku menoleh ke arah Joe. “Saja nak lepak sini.” Lagipun aku takut dekat kau. Aku menyambung dalam hati.
“Panas-panas macam ni?”
Aku diam. “Macam mana tahu aku dekat sini?” Soalan di balas dengan soalan. Rasanya tidak adalah dekat sangat kedai mamak tu dengan tempat ni sampai dia boleh nampak.
“Nampak kau park motor tadi. Pelik juga aku, kau tak nak masuk dalam tadi.”
Suasana kembali senyap.
“Kau marah lagi ke?” Soalan yang tidak berjawab tadi, aku tanya kembali. Sungguh aku pelik kalau marah dia sudah surut. Hari tu, punyalah berapi-api aku nampak mata dia semasa dia pandang aku.
“Marah.” Joe menarik nafas. “Tapi still, aku tak boleh nak stop sayang kau, Lisa. Perasaan aku jadi bercampur baur. Marah, frust... semua ada. Sampai malam tadi pun tak tenang aku nak tidur fikirkan kau. Entahlah Lisa.”
Nasib baik tidak terjatuh ais krim ni semasa dia cakap tentang sayang tu. Isk, dia ini lah! Aku buat-buat tidak dengar je masa dia cakap macam tu. Hah! Walhal, aku juga yang bertanyakan soalan tadi
“Wati tahu ke benda ni?”
Aku angguk.
“So, aku orang lastlah?”
Aku pandang Joe. “Taklah. Orang first.”
“Bila kau beritahu dia?”
“Malam tadi. Terpaksa.”
“Terpaksa? Kenapa? Risau aku yang beritahu dia dulu ke?”
Aku menggeleng. Ais krim yang tinggal sedikit aku habiskan. Kertas sampah tadi aku kumpulkan. Nantilah baru buang dalam tong sampah.
“Aku minta tolong dia. Ada orang merajuk dengan aku.”
“Aku ke?” Joe tersenyum tawar.
Aku menggeleng. Perasan! Ceh, Alisa! Siapa agaknya ya yang risaukan pasal Joe sampai tersalah-salah baca masa mengaji?
“Ustaz.” Pendek aku menjawab. Kemudian, aku menunduk.
Joe tidak memberi apa-apa komen.
“Aku harap kau happy.” Tiba-tiba dia bersuara.
Aku mengalih pandang ke arah dia.
“Sebab kalau kau happy, aku pun happy.” Joe senyum tidak berperasaan.
Angin laut masih tidak berhenti menghembus. Segar. Sesegar hati aku apabila masalah dengan Joe selesai dengan sendirinya. Aku memejam mata sekejap. Alhamdulillah...
“Lagi satu, try to be a good wife. Kalau aku jadi suami pun, aku harapkan isteri yang dengar kata.”
Kelopak mata yang tadinya aku tutup kini dibuka. Aku nampak Joe tersenyum nipis.
“Lisa, walaupun ilmu aku bukan tahap suami kau...” aku rasa hendak tersenyum apabila dia menyebut perkataan ‘suami kau’ tu. Terasa macam kelakar.
“Tapi aku ingat lagi masa sekolah agama, ustazah aku cerita kisah Siti Fatimah yang mengelilingi Saidina Ali sebab tidak sengaja dah kecilkan hati Saidina Ali. Kalau Ustaz terasa hati sebab semalam, aku rasa kau tahu apa yang kau patut buat.”
Terus aku rasa hendak tercekik. Ye! Aku tahu. Memang aku tahu. Tapi apa yang aku boleh buat?
***
“APA yang dia suka?”
Aku menggeleng. “Mana aku tahu...” Buah tembikai aku potong dengan berhati-hati.
Dahi Wati sudah berkerut. “Hey! Dia hubby kau tau!”
“Syyhh!” aku menyuruh dia memperlahankan volume. Kuat sangat! Ada semua orang dengar nanti. Huh! Hubby tak hubby. Euw... Geli pula berhubby-hubby ni. Bunyi dia, manja yang teramat! Suami aje sudah.
“Manalah aku pernah ambil kisah pasal dia. Yang aku tahu, dia suka makan dekat rumah and dia suka makan gula-gula Choclairs.”
Jenuh aku mengingatkan balik apa yang dia suka. Itu ajelah dua benda yang memang aku arif pasal dia. Itu pun kalau tidak iya-iya, satu benda pun aku tidak tahu!
Wati menepuk dahi. “Teruk betullah kau ni jadi bini dia. Malang betul ustaz tu tau!” Wati sudah bising. Sementara itu, dia menuangkan air gula yang sudah siap ke dalam bekas yang tersedia. Periuk yang sudah kosong diisi dengan air paip.
Aku menarik muka apabila Wati mengutuk. Macamlah aku terhegeh-hegeh gila hendak mak dengan ayah kahwinkan aku dengan ustaz tu.
“Eleh! Kalau kau kesian sangat, kau kahwinlah dengan dia!” Erk! Amboi mulut, sanggup ke hidup bermadu? Ada nanti bini tua lagi muda daripada bini muda.
“Serius?” Dia menyoal ala-ala serius.
“Lepas tu, Pa’an kau tu nak letak mana?” Aku bagi alasan. Ceh! Sepatutnya dia yang bagi alasan untuk mengelak. Ini terbalik pula.
“Ah, kalau antara ustaz dengan Pa’an, lagi baik ustaz!”
Aku membulatkan mata. “Banyaklah kau!”
Wati tergelak-gelak. Perlahan-lahan dia menuang gula ke dalam periuk yang airnya sudah mula hendak mendidih.
“Eh, tadi aku jumpa Joe!”
Laju Wati menoleh. Plastik gula diletakkan ke tepi. “Bila?”
“Kat tepi laut. Kan aku cakap aku lepak sana tadi sebelum datang sini.”
“Tapi kau tak cakap pun kau jumpa dia?”
“Bukan sengaja nak jumpa. Terjumpa,” terangku.
“Dia ok?”
“Macam dah ok.”
“Oklah tu. Siapa yang tak terkejut dengar pasal benda tu.” Wati mengacau gula di dalam periuk. Kalau banyak lebih air gula minah ni, mahu aku minta sikit bawa balik. Buat stok dekat rumah.
“Itu orang yang dengar. Aku yang alami sendiri ni pun terkejut tak hilang lagi.” Ceh! Ayat tidak boleh tahan betul!
Wati menggeleng mendengarkan ayat yang keluar daripada mulut aku.
“Apa perasaan kau, Lisa? Lepas kahwin ni?”
Aku terdiam sekejap sebelum menjawab. Perasaan? Tidak ada apa pun aku rasa.
“pH tujuh. Neutral,” balasku berkias.
“Weh, betul-betul lah!” Wati sudah mula nak marah.
Aku mengerutkan dahi. “Betullah! Bila masa aku nak menipu?”
“Takkan kau tak rasa apa-apa dekat dia?”
Oh! Cakaplah perasaan aku dekat ustaz tu. Ini tanya perasaan aku selepas kahwin. Mana jelas soalannya.
“Tujuh juga!” jawabku berkias.
“Serius?”
Aku mengangguk. “Aku nampak dia tu macam abang aku je. Kadang tu rasa macam ustaz.”
“Sikit pun tak ada rasa sayang dekat dia?”
Aku mengiyakan.
“Betullah kau ni Lisa. Memang patut ustaz merajuk dengan kau. Jawab tak cover-cover langsung! Kalau dia tahu ni...” Sengaja Wati tidak menghabiskan ayatnya.
Ah, akibat dia macam apa yang jadi semalam itu lah. “Sebab dia tak ada aku berani jujur,” balasku selamba. Cuma semalam je tidak bernasib baik.
“Belajar-belajarlah sayang dekat suami kau tu. Ustaz Hafiz lagi tu. Kalau aku kat tempat kau. Hrm... Tak lama dah aku bercinta dengan dia!”
Aku mencebik. Gaya macam aku dapat kahwin dengan angkasawan negara je cakap macam tu. Walhal ustaz kelas sendiri je.
“Anak dara buat kerja... lambatnya! Boleh pula bercakap pasal suami semua. Cepat buat kerja tu! SPM tak ambil lagi dah berangan fikir bukan-bukan!”
Aku terbatuk. Kak Fatin, kakak Wati sudah membebel apabila masuk ke dapur melihat kami buat kerja dengan lemah gemalai. Memang lambat pun kami buat kerja. Buat kerja sambil berbual, memanglah! Laju aku menghabiskan kerja aku. Tidak adanya aku hendak terasa hati dengan Kak Fatin. Kak Fatin tu sudah macam kakak aku juga sebenarnya, sebab semua ahli keluarga Wati dah kenal sangat aku ni.
***
SELEPAS kenduri habis, aku singgah kedai bunga di bandar. Pusing keliling aku mencari kedai bunga. Orang jarang pergi kedai bunga, memanglah macam ni jadinya. Selepas masuk ke dalam kedai, aku terus minta amoi tu sekuntum bunga ros. Huh, melayang duit aku kalau ustaz tu merajuk tiap-tiap hari. Sementara menunggu, aku membelek-belek kad yang ada di situ. Kad berwarna kuning cair aku ambil. Hai... tidak pasal-pasal aku jadi romantik buat benda ni semua. Namun, ada lagi satu masalah. Macam mana aku hendak bagi Abang Hafiz benda ni?
Tombol pintu aku pulas. Selepas salam diberi, aku masuk ke dalam rumah. Abang Hafiz ada di dapur agaknya. Kereta dia ada dekat garaj. Apabila nampak dia tidak ada, laju aku menyusup masuk ke dalam bilik. Malu rasanya kalau dia nampak bunga ni semua! Tadi pun aku letak bunga ni dalam goodies bag. Nasib baik tak tertanggal kelopak dia.
Selepas menyalin baju, aku melangkah keluar dengan nasi bungkus kenduri tadi. Langkah diatur ke dapur. Abang Hafiz tengah membasuh pinggan. Baru lepas makan agaknya.
“Ni ada nasi kenduri tadi.” Aku memberitahu.
“Hrm...” Itu je jawapan dia.
Aku dah berpeluh. Ini kalau minta maaf, macam mana pula reaksi dia? Itu satu perkara. Lagi satu perkara, bila masa nak bagi dia bunga tu? Aduh! Lama-lama ada pula bunga tu layu dalam beg sekolah!
***
AKU mengintai Abang Hafiz yang sedang menonton televisyen. Di tangannya terdapat sebuah buku. Kepala yang tidak gatal aku garu. Aduh! Macam mana ni? Macam mana hendak mulakan first step ni? Tangan laju membuka zip beg sekolah. Bunga ros merah yang sudah tidak berapa segar aku keluarkan. Kad kuning tadi aku ambil dan aku baca sekilas.
-I know I’m bad, and I’m sorry.-
Tidak sanggup rasanya hendak baca ayat sendiri. Sudahlah ayat yang aku guna langsung tak menarik. Kad kembali ditutup. Nafas aku tarik dalam-dalam. Erk! Perasaan cuak itu tetap ada. Alamak, tak ada talian hayat ke untuk selamatkan diri? Sekali lagi aku menarik nafas. Semangat yang sudah menghilang aku kumpul kembali. Terasa macam orang hendak pergi menjawab soalan SPM pula. Aduh!
“Abang.” Perlahan aku memanggil.
Abang Hafiz menoleh. Buku di tangan diletakkan ke tepi. Aku mengambil peluang untuk duduk di sebelah dia.
“Lisa minta maaf pasal semalam.” Bunga dan kad aku hulurkan.
Abang Hafiz memandang aku tanpa perasaan. Bunga dan kad dia ambil dan terus letak di atas meja kopi.
“I don’t need these.”
Seperti mahu menangis aku apabila dia buat macam tu. Sudahlah langsung tidak baca apa yang aku tulis. Terasa sia-sia usaha aku tadi. Dengan penat siang tadi tidak hilang lagi.
“Kadang-kadang tak semua benda boleh diselesaikan dengan hanya maaf Lisa.”
Aku menunduk apabila terasa pipi aku basah. Laju tangan mengesat pipi. Dada sudah terasa sebu semacam.
“Mungkin Lisa dah lupa kata-kata tu kan ibarat pedang. Luka dia Lisa, bukan nampak dekat badan kita. Tapi boleh rasa dekat sini,” dia letak tangan dia dekat dada.
Aku diam je dengar dia bersuara.
“Ada satu perkara yang abang nak tahu...” Aku mengangkat muka, memandang wajah Abang Hafiz.
“Do you really mean it?” Dia bertanya apabila hampir seminit minit dia mendiamkan diri.
Aku terpinga-pinga. “It?” aku menyoal.
“Semua yang Lisa cakap pada Johan?”
Aku menahan kepala daripada mengangguk. “Tak.” Laju bibir menuturkan. “Mungkin masa tu rasa nak menangkan diri sendiri sampai tak sedar tercakap semua tu dengan Johan.”
Bohong sunat. Tidak apalah, bohong untuk mengelakkan ustaz ni terus-terusan terasa hati walaupun aku sedar je apa yang aku cakap dan aku menyatakan apa yang aku rasa. Ya Allah, kenapalah susah sangat hati aku menerima ustaz ni? Abang Hafiz pandang aku tidak percaya. Seolah-olah mahu memastikan aku menipu atau tidak. Akhirnya dia tersenyum nipis.
“Lain kali, fikir sebelum bercakap.” Tangan kanan dia mengesat pipi aku.
Aku tidak mengelak. Makin galak pula air mata ini jatuh. Aku sudah teresak apabila tangan dia terus-terusan di pipi aku.
“Dahlah. Jangan nangis. Next week abang dah nak pergi kursus dah. Abang tak nak Lisa tinggal dengan muka macam ni.”
Aku cuba tersenyum. Tangan dia aku capai dan aku cium. Tidak pernah-pernah aku buat macam ni kecuali selepas sembahyang. Manalah tahu terbuka sikit hati ni hendak terima dia. Kalaulah hati ni ada suis, memang sudah lama aku tekan biar dia boleh masuk.
No comments:
Post a Comment